Media Details

26 Nov 2024

TP TEC terima kelulusan ke Pasaran LEAP

KUALA LUMPUR: TP TEC Holding Bhd (TPTH), penyedia penyelesaian kuasa dan peralatan, mendapat kelulusan untuk disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities Bhd.

Menurut syarikat itu dalam kenyataan hari ini, dalam surat bertarikh 25 November 2024, Bursa Securities telah meluluskan kemasukan ke dalam Senarai Rasmi serta penyenaraian dan penawaran keseluruhan modal saham diterbitkan TP TEC Holding yang terdiri daripada 250 juta saham biasa di Pasaran LEAP.

Katanya, berdasarkan harga rujukan penyenaraian sebanyak 10 sen sesaham, TP TEC Holding dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM25 juta selepas disenaraikan di Pasaran LEAP.

"Menjelang penyenaraian yang dicadangkan, TP TEC Holding telah mengumpul RM2.50 juta melalui pelaksanaan langganan persendirian saham biasa yang dibuat pada Ogos 2024.

"Pelaksanaan ini membabitkan pengeluaran 25 juta saham biasa yang mewakili 10 peratus daripada modal saham syarikat yang diperbesar kepada pelabur persendirian bebas pada harga 10 sen setiap saham.

"Sejumlah 60 peratus daripada hasil pelaksanaan ini akan digunakan untuk mengembangkan armada penjana kuasa syarikat, membantu memenuhi permintaan daripada pelanggan sedia ada dan masa depan, manakala baki 40 peratus akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian," katanya.

TPTH mereka bentuk, membangunkan, memiliki dan mengurus penyelesaian tenaga khusus untuk industri telekomunikasi dan pembinaan, dengan memanfaatkan sebanyak 899 penjana kuasa yang direka oleh syarikat itu dan dikerahkan di seluruh Malaysia.

Sehingga 15 Oktober 2024, TPTH telah memperoleh sembilan kontrak penyewaan penjana kuasa dengan jumlah nilai lebih RM110 juta bersama penyedia telekomunikasi utama di Malaysia.

Pengarah Urusan TPTH, Lau Poh Keong, berkata penyenaraian ini akan membolehkan syarikat mengakses pasaran modal untuk aktiviti pengumpulan dana pada masa hadapan, memperbaiki keupayaan untuk mengejar peluang pertumbuhan baharu.

"Kami juga melihatnya sebagai langkah penting menuju penyenaraian kami di pasaran bertaraf lebih tinggi Bursa Securities.

"Cadangan penyenaraian kami di Bursa Securities akan mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam pasaran penyelesaian tenaga dan peralatan, meningkatkan profil korporat kami dan menyumbang kepada usaha kami untuk mengembangkan asas pelanggan kami," katanya.

Dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, syarikat mencatatkan peningkatan sebanyak 76.78 peratus dalam hasil kepada RM19.87 juta, yang didorong terutamanya oleh permintaan yang meningkat daripada industri telekomunikasi.

Hasil yang lebih tinggi ini, seterusnya, menghasilkan peningkatan sebanyak 136.36 peratus dalam keuntungan selepas cukai syarikat kepada RM1.3 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Syarikat terus menunjukkan momentum kukuh sepanjang tempoh kewangan sembilan bulan yang tidak diaudit berakhir pada 30 September 2024.

Hasil bagi tempoh itu meningkat sebanyak 89.18 peratus tahun ke tahun kepada RM25.88 juta, menyumbang kepada peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 214.29 peratus kepada RM2.64 juta.

Prestasi syarikat untuk tempoh ini juga didorong oleh permintaan untuk penyewaan penjana kuasa daripada industri telekomunikasi.

POST FROM BHarian