KUALA LUMPUR: TP TEC Holding Bhd, penyedia penyelesaian kuasa dan peralatan membuat permulaan baik pada kemunculan pertama sahamnya di Pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia apabila dibuka pada 13 sen, premium tiga sen daripada harga tawaran 10 sen sesaham.
Pengarah Urusan TP TEC Holding, Lau Poh Keong, berkata syarikat menjangka dapat mengekalkan pertumbuhan hasil dua angka tahunan, didorong oleh penerapan 5G yang dipercepatkan di Malaysia dan perkembangan pesatnya di negara ini.
Beliau berkata, syarikat juga menjangka terus meningkatkan prestasi dengan memasuki Pasaran ACE Bursa Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
"Dengan kontrak semasa yang bernilai RM110 juta dan kontrak yang belum ditagih sebanyak RM77.06 juta, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk mengekalkan pertumbuhan ini dalam dua hingga tiga tahun akan datang.
"Prestasi kukuh mencerminkan peningkatan permintaan untuk perkhidmatan kami, terutamanya dalam sektor seperti telekomunikasi dan pembinaan," katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, hari ini.
Poh Keong berkata, rancangan untuk berpindah ke Pasaran ACE atau Pasaran Utama didorong terutamanya oleh kelayakan syarikat.
"Syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE perlu memenuhi ambang keuntungan selepas cukai tertentu dan kami berharap dapat mencapainya dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
"Ini selaras dengan tujuan pasaran yang ditubuhkan oleh Bursa Malaysia dan kerajaan untuk memberi pendedahan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap keperluan peraturan serta amalan tadbir urus yang baik sebagai persediaan untuk kemajuan masa depan," katanya.
Beliau berkata, 80 peratus daripada hasil syarikat kini diperoleh daripada sektor telekomunikasi, manakala 20 peratus lagi menerusi sektor pembinaan.
"Seiring dengan peningkatan fokus kepada pusat data, terutamanya di selatan Malaysia, kami ingin menembusi pasaran ini lebih jauh dan menjangkakan pertumbuhan hasil keseluruhan serta peratusan sumbangan daripada setiap sektor kekal stabil buat masa ini.
"Penyenaraian ini adalah bukti kekuatan model perniagaan kami dan komitmen kami untuk menyampaikan penyelesaian kuasa dan peralatan yang inovatif, boleh dipercayai dan mampan," katanya.
Beliau menambah, penyenaraian ini bukan sahaja meningkatkan profil korporat TP TEC Holding, tetapi meletakkannya dalam kedudukan untuk memanfaatkan pasaran modal bagi pertumbuhan masa depan.
POST FROM BERITA HARIAN